ULASAN BUKU: JUDGING A BOOK BY ITS LOVER OLEH LAUREN LETO

PENDAHULUAN

Jarang sekali berkesempatan untuk membaca sebuah buku yang sememangnya didedikasikan untuk menceritakan perihal buku, membaca buku dan pencinta buku. Lauren Leto tampil dengan sebuah penulisan santai yang mengungkapkan isi hati seorang penggemar buku, kalau bukan pencinta buku, untuk tatapan umum. Juga, tulisan ini mampu menjadi satu pemangkin rasa ingin membaca dengan keghairahan yang dirasai oleh peminat-peminat buku. Kupasan Leto mudah, perbincangannya sekitar tips-tips membaca, mengulas, menulis dan hidup dengan buku. Ini menjadikan Judging a Book by its Lover satu bacaan ringan dan amat sesuai bagi mereka yang mahu menjinakkan hati untuk tekun membaca.

GAYA DAN PENGEMBANGAN PENULISAN

Sepertimana sifatnya yang ringan dan mudah dihadam gaya penulisan yang ditampilkan adalah dalam bentuk santai dan berjenaka. Leto memulakan penulisannya dengan menyingkap kisah hidupnya dengan buku. Bagaimana beliau jatuh cinta dengan buku yang dimulai dengan pujian guru sekolah rendah beliau dengan pernyataan bahawa beliau seorang pembaca yang baik. Yang akhirnya dapat disimpulkan, merubah beliau menjadi seorang ‘book nerd’ bukan biasa-biasa.

Begitulah dibab-bab seterusnya, Leto dengan nada berseloroh menyenaraikan dan menjelaskan Sepuluh Peraturan Mengorat di Kedai Buku, Peraturan Membaca di Tempat Awam, Peraturan Kelab Buku, Cara Menulis seperti Penulis (terkemuka) dan Cara Berpura-pura; seolah-olah sudah membaca sebuah buku yang sebenarnya belum dibaca. Diakui, dalam unsur humor yang diketengahkan Leto ada bahagian penulisannya yang sangat bermanfaat dan ada juga bahagiannya yang agak keterlaluan. Keterlaluan dengan erti kata, cukup buat pembaca membaca perenggan tersebut tanpa perlu mengaplikasikan apa yang yang ditulis kerana perenggan tersebut selayaknya dianggap sebagai penambah rasa kepada penulisan beliau.

Memfokuskan penulisan kepada tema membaca tidak menghalang Letto untuk turut menyentuh soal ‘menulis’. Dalam bab ‘The Literati’ beliau menggambarkan situasi kebiasaan yang dihadapi oleh penulis-penulis baru. Iaitu situasi dimana keinginan dan semangat penulis-penulis baru ini dibunuh oleh komentar tidak bertanggungjawab dan penolakan penerbitan terhadap karya penulis-penulis baru tersebut. Leto mengingatkan untuk mereka untuk ‘membunuh mereka yang hanya tahu membaca hanya untuk mengkritik dan bercakap hanya untuk merendah-rendahkan orang lain’.

Leto mengakhiri tulisannya dengan gaya yang sangat dramatik apabila beliau menyorot kembali kisah beliau bersama nenek yang yang mati akibat kanser. Yang mana Leto menyifatkan neneknya sebagai ‘the light of my family’s world’. Dan ketika menceritakan sayangnya beliau kepada neneknya dan kecintaan nenek kepada membaca, nadanya serius, tegas dan jelas bahawa neneknya merupakan sumber inspirasi untuk beliau terus membaca.

Naik-turun nada dan kupasan Leto inilah antara sebab Judging a Book by its Lover harus dibaca. Kerana dalam jenaka yang adakalanya tidak masuk akal dan cerita suram yang menginsafkan tersirat mesej utama yang sangat mengesankan iaitu membaca dengan makna.

MEMBACA DENGAN JIWA

Mungkin inilah mesej yang paling utama yang wajar ditangkap setelah membaca tulisan Leto ini. Judging a Book by its Lovers dimulakan dengan cubaan menafsirkan kenikmatan yang dirasai oleh peminat buku disaat berada dalam kedai buku dan kegusaran mereka ketika diuji untuk memilih diantara teman lelaki/perempuan atau setia bersama buku mereka. Dan kemudianya diakhiri dengan dua bab yang, pertama, dinamakan ‘To Be Read’ yang menempatkan kisah neneknya dan minat membacanya, dan kedua, dinamakan ‘Why We Talk About It’ yang menempatkan penghuraian mengenai kebebasan berimaginasi, berfikir dan berdebat dengan dunia pembacaan yang tidak mungkin dirasai oleh orang lain. Sekiranya dapat dirasai sekalipun, rasa itu tidak akan pernah sama.

Kemudiannya, diantara kedua, pendahuluan dan penutup, ini ialah cerita tentang hidup dengan buku. Tidak disebut secara spesifik tentang persoalan ini. Tetapi jika ditelaah dengan baik, dapat di rasai oleh pembaca tentang apa ertinya membaca bagi penggemar buku. Nilaian buku fizikal yang jauh lebih bermakna berbanding buku elektronik; e-book. Perasaan mengumpul koleksi buku, yang adakalanya dibeli semata-mata untuk koleksi peribadi kerana buku tersebut asalnya dibaca dari pinjaman orang lain. Keseronokan mengkategorikan himpunan buku di almari. Dan juga, keriangan hati memiliki buku yang usang kerana kerap dibaca dan diselak helaiannya.

TIPS MEMBACA

Sepanjang penulisan, Leto banyak sekali mengungkap tulisan novel dan biografi penulis-penulis antarabangsa. Kerana itu bagi tujuan pembacaan santai dan berfokus kepada perkara-perkara penting, disertakan cadangan cara pembacaan Judging a Book by its Lovers ini.

Pertama, abaikan semua nama-nama penulis dan judul novel yang disebut. Fokus Leto dalam buku ini ialah genre buku novel; dewasa dan fiksyen. Maka, bagi bukan penggemar novel yang mencari motivasi untuk membaca dalam buku ini, bolehlah mengabaikan nama-nama dan judul-judul tersebut kerana ia tidak lebih melainkan sebagai ilustrasi dan dan contoh semata-mata.

Kedua, jika motivasi membaca yang dicari maka fokus mesti diberikan pada bahagian pertama dan keempat hingga akhir buku ini. Kerana disitu Leto memberikan perhatian lebih kepada buku secara umum dan kehidupan bersama buku. Manakala bagi, bahagian-bahagian lainnya tidak wajar ditingglakn langsung, sebaliknya boleh dibaca sekilas lalu dan sekiranya ada maklumat yang meraik perhatian pembaca bolehlah dibaca secara teliti.

Ketiga, sekiranya pembaca mencari buku yang sesuai untuk dibaca ditempat awam maka buku ini sangat sesuai kerana ia akan menghilangkan rasa bosan dan mengantuk pembaca ditempat awam dengan laras bahasanya yang mudah dan pengembangan penulisannya yang baik. Pun begitu, dengan syarat pembaca membaca tulisan Leto ini dengan memposisikan diri ditempat beliau agar pembacaan dapat dirasakan lebih hidup.

 

KESIMPULAN

Judging a Book by its Lovers merupakan buku yang sangat menarik untuk dibaca. Menarik kerana pengolahan dan mesej-mesejnya. Dan menarik kerana ia merupakan tema penulisan yang jarang sekali dikupas dan diterbitkan. Dicadangkan untuk dibaca oleh mereka yang mula berjinak dengan membaca dan diulang-baca dari masa ke semasa kerana Letto mengingatkan kita bahawa diluar sana ada insan-insan yang berkongsi rasa ghairah mendakap buku didada sama seperti kita.

 

 

IRFAN FARUQI

4 Julai 2016

Kg. Kenjong, Pasir Mas

Kelantan.

Advertisements

Merantau ke Deli Karya Buya HAMKA: Ulasan Ringkas

PENDAHULUAN

Merantau ke Deli merupakan tulisan Buya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) berkisar sepasang suami isteri yang dipertemukan dengan latar percintaan yang unik. Sepanjang berkembangan penceritaan itu diselitkan dengan pelbagai perlambangan dan gambaran latar sosial dan pesan-pesan tersirat yang diungkapkan dengan hikmah. Lantaran itu, dalam cebisann ulasan kecil ini cuba untuk mengupas gaya penulisan, pemikiran HAMKA dan mesej-mesej utama yang sewajarnya dijadikan pedoman bersama.

SINOPSIS

Si Suaminya seorang Padang beradat Minangkabau dan Si Isterimya pula seorang Jawa. Sama sakit, sama susah dan sama payah, mereka mulakan hidup dengan penuh kesederhanaan. Dengan peralihan masa dan kesetiaan cinta antara dua insan ini, teraf hidup mereka semakin baik bahkan selayaknya di gelar ‘Orang Kaya’. Kesetiaan ini kemudiannya diuji dengan segala macam ujian. Ujian terbesar ialah diri didesak untuk memilih antara dua. Si Suami didesak untuk memilih antara isterinya yang tiada tara setianya atau adat keluarga yang berlembaga baeradat untuk berkahwin dengan wanita Minagkabau juga. Si Isteri pula terpaksa memilih antara merana hidup dimadukan atau berpisah dengan suami yang membawanya keluar dari lembah hidup gelap. Begitulah kurang lebih sinopsis karya halus HAMKA yang satu ini.

KEHALUSAN GUBAHAN BAHASA

Pada saya, kalau pun tidak semua, Merantau ke Deli ditulis dengan gaya yang sangat berbeza berbanding novel-novel lain. HAMKA tidak fokus kepada dialog antara dua karakter, sebaliknya emosi, penghayatan dan hubungan antara watak dalam cerita ditampilkan dengan pecertiaan umum dari perspektif orang ketiga. Membuatkan kita merasakan seolah-olah kita berada di waktu dan tempat tersebut sebagai saksi kejadian.

Novel ini ringkas, pun begitu impaknya sangat mengesankan. Tidak mudah untuk menzahirkan penghargaan da ketinggian atur bahasa yang ditumpahkan oleh Buya HAMKA ini melainkan novel ini dibaca sendiri. Hasilnya, dalam masa yang singkat HAMKA berjaya menghidupkan latar masyarakat berdasarkan masa dan tempat yang disebutkan.

BUAH FIKIR TERSURAT DAN TERSIRAT

Daripada penulisan ringan ini, HAMKA dilihat mengetengahkan sikap beliau terhadap perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat Melayu-Islam secara umum dan Indonesia secara khusus. Antara pemikiran dan sikap beliau itu dapat dilihat dalam perihal pentingnya kebebasan, sikap orang muda, pembangunan ekonomi dan hidup beradat.

                MEMAKNAI KEBEBASAN

Dari awal lagi HAMKA menceritakan latar masyarakat yang terikat hidup mereka dengan kontrak sebagai kuli dan terbelenggu dalam hidup foya-foya. Dari situlah HAMKA mula membangkitkan watak Suami dan Isteri yang dalam hijrah ke arah kebebasan sesuai dengan hak seorang insan. Ada lagi beberapa contoh situasi yang berkait dengan kebabasan, pokoknya HAMKA cuba untuk menyatakan bahawa hanya dengan kebebasan barulah hidup benar-benar dikatakan hidup. Realitinya, ini sesuai dengan latar sosio-politik Indonesia, bahkan umum, yang ketika penulisan ini diterbitkan banyak sekali kalung-kalung besi yang memerangkap rakyat daripada merasakan nikmat bebas dan merdeka.

KARAKTER ORANG MUDA

Memandangkan watak utama dalam cerita ini  sering disifatkan HAMKA sebagai ‘darah muda’; kahwinnya muda, merantaunnya muda, berniaga ketika muda dan konfliknya pun ketika usia masih muda, meletakkan tingginya harapan dan rasa penghargaan ulama nusantara ini kepada orang muda. Saya tidak dapat tidak merasakan ‘Merantau ke Deli’ itu sebenarnya tepat sekali ditujukan kepada diri. Pastinya bukan ke Deli yang dimahukan HAMKA tetapi satu seruan beliau untuk anak muda ‘Merantau ke Dunia Realiti’. Beliau cuba menegaskan anak muda harus berani keluar daripada zon selesa, lakukan kesilapan sebanyaknya dan dipelajari sebanyaknya daripada kesilapan itu demi membangun potensi dan peribadi.

EKONOMI UMMATIK

Dalam hal pembangunan ekonomi, tema ini dibangkitkan bersama dengan watak utama yang diperkenalkan HAMKA. Ekonomi orang tempatan, ekonomi adil dan ekonomi yang membantu pembangunan tamadun ummat, itulah ekonomi yang digagaskan oleh HAMKA dalam novel ini. Bukan kebergantungan kepada ekonomi yang bersifat menindas. Usaha dan tekad tidak berbelah bahagi ini digambarkan dengan jatuh bangun perniagaan suami isteri tersebut. Seterusnya, sifat murah hati dan integriti seorang kaya itu yang sewajarnya dicurahkan kepada yang kurang berkemampuan dan juga untuk menambah baik preastasi sedia ada turut diceritakan oleh HAMKA. Pokoknya, kebijaksanaan dan keimanan dalam mengurus pemberian materi Tuhan ini mesti dikuasai dan diurus sebaiknya oleh kita.

ADAT DAN SYARIAT

Hidup beradat, khususnya adat orang Minagkabau yang masyhur mengutamakan sebelah perempuan, ini turut disentuh oleh HAMKA. Terselit secara separa terang kritikan HAMKA terhadap adat Minang yang dilihat membebankan dan bersifat ekslusif. Sekurang-kurangnya begitulah gambaran HAMKA dalam novel ini. Sama ada HAMKA bersetuju atau menolak langsung adat yang satu ini. Itu memerlukan penulisan yang berasingan. Pun begitu, wajar untuk dinyatakan bahawa kritikan HAMKA hanya ditujukan kepada bahagian-bahagian adat yang menyalahi tuntutan syariat Islam. Kerana itu, karya ini sangat halus sifatnya dalam melaksanakan fungsi dakwah kepada masyarakat. Dan kaedah dakwah inilah yang lebih besar manfaatnya yang wajar diteladani.

KESIMPULAN

Ulasan ini ditulis dari sudut pandang seorang pembaca yang tiada pengetahuan lengkap mengenai aspirasi dan sejarah asal Merantau ke Deli. Kerana itu, dirasakan bahawa kalau seorang yang kurang pengalaman ini dapat menangkap mesej-mesej seperti ini bermakna masih ada lagi segaung hikmah yang berbaki sebolehnya digali lagi. Apapun, Merantau ke Deli sangat sesuai dibaca oleh anak muda hari ini yang terlalu asyik dengan cinta tanpa mengetahui erti sebenarnya cinta dan bagaimana seharusnya cinta itu dimanifestasikan. Novel cinta HAMKA, Merantau ke Deli yang ringkas, ringan dan sarat dengan pesan-pesan seorang ilmuan ummat ini mesti dibaca dan dipanjangkan diskusinya.

 

IRFAN FARUQI

5 Mei 2016

Pusat Tamhidi

Universiti Sains Islam Malaysia

Inovasi Masyarakat Membangun

PENDAHULUAN

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Salam sejahtera. Apa khabar? Baik-baik semua. Penghargaan kepada Pengerusi Majlis, juri-juri yang arif, tamu-tamu terhormat, rakan mahasiswa seangkatan dan hadirin sekalian. Saudara, Steven Johnson, ahli teori media, dalam bukunya Future Perfect mengakui sejak kemunculan internet pada tahun 90-an, dunia pantas berubah; idea dan inovasi mencurah-curah; persaingan kian mencabar. Prihatin akan nasib Malaysia dalam mendepani kepesatan ini perhatian perkongsian kita akan berpaksikan kepada tajuk pidato ‘Inovasi Masyarakat Membangun’. Jujur, tajuk pidato ini di inspirasikan oleh judul buku tulisan Syed Hussein al-Alatas iaitu ‘Intelektual Masyarakat Membangun’. Kerana tulisan beliau mengingatkan kita bahawa pembaharuan itu penting dan perbincangan yang bersifat setempat itu penting. Maka, dapat kita simpulkan secara konklusif kehendak tajuk pidato ini ialah inovasi yang memangkin transformasi di negara ini punya formula tersendiri. Ini yang kita bincangkan dengan melihat tiga perkara: (1) Mahasiswa sebagai watak sentral, (2) Inovasi bersifat dwi-dimensi dan (3) Transformasi yang tertegak diatas nilai.

 

Isi 1: MAHASISWA SEBAGAI WATAK SENTRAL

Saudara-saudari,

Perkara pertama, mahasiswa terpilih sebagai penggerak utama inovasi transformatif. Pemilihan mereka ini tidak hanya kerana kudratnya, usianya dan darah mudanya tetapi adalah kerana mereka membesar dalam persekitaran sosial, ekonomi dan teknologi sedemikian rupa. Lain sungguh adik-adik sekolah kita dengan mak-ayah kita. Adik-adik, tanya cikgu dulu-dulu main apa; guli, panjat pokok, berbanding kita sekarang, main Angry Bird; Call of Duty. Ha, tengok, baru sebut cikgu dah geleng kepala. Jurang perbezaan ini menyebabkan kefahaman tentang realiti semasa berbeza. Mandat ini juga diberikan kepada mahasiswa kerana mereka mahasiswa; kumpulan orang yang menghuni institusi pengajian tinggi dengan segala khazanah keilmuannya. Gandingan pembelajaran teori di universiti dan kefahaman realiti semasa memungkinkan mahasiswa tampil dengan inovasi yang bernas. Atas dasar inilah Imam Hasan al-Banna, Hamka dan Malaysia meyakini potensi mahasiswa untuk meneraju masa depan. Pun begitu mestilah di ingat, keberanian anak muda mesti ditampung dengan hikmah orang tua. Dengan ini, barulah mahasiswa berinovasi mampu memangkin transformasi.

 

Isi 2: INOVASI BERSIFAT DWI-DIMENSI

Hadirin yang dihormati,

Perkara kedua, inovasi yang kita cipta mesti bersifat dwi-dimensi; idea yang segar dan idea yang manusiawi. Ada yang mesti kita pelajari daripada sejarah inovasi kapitalisme, saya memetik daripada tulisan Richard A. Posner berjudul The Failure of Capitalism  yang menzahirkan kekecewaan terhadap keghairahan kapitalisme memperjuangkan kebebasan ekonomi yang akhirnya menyuburkan penindasan orang industri bermodal keatas orang industi kecil-kecilan dan orang miskin. Perkara ini dibenarkan oleh Dr. Muhammad Abdul Khalid dari Institu Kajian Khazanah dalam bukunya The Colour of Inequality. Pun begitu kita tidak menyekat inovasi, penghasilan idea segar rentas sektor keilmuan; ekonomi, sosial dan teknologi, oleh siapapun khususnya mahasiswa mesti terus digalakkan. Dan, idea-idea baru ini wajib ditiup roh kemanusiaan. Maksudnya, datangkanlah buah-buah fikir yang luar biasa tara manapun dan dalam masa yang sama hak-hak kemanusiaan yang mengidentiti seorang manusia jangan digadaikan; termasuk karamah insaniah dan pertalian kekeluargaan. Inovasi yang begini, didukung oleh mahasiswa seperti yang kita sebutkan tadi pasti mampu memangkin transformasi yang kita impikan.

 

Isi 3: TRANSFORMASI BERASASKAN NILAI

Rakan-rakan inovasi-transformasi sekalian,

Perkara ketiga, matlamat akhir transformasi yang kita ingin kecapi seharusnya tertegak diatas nilai-nilai yang baik. Muhammad Yunus, Pengerusi Grameen Bank juga perangkul Anugerah Nobel Keamanan menulis dalam bukunya Banker to the Poor menyatakan ada saja inovasi yang menindas. Beliau menceritakan pekembangan inovasi skim perbankan berkembang dengan baik tetapi majoriti rakyat Bangladesh dinafikan hak unutk berpartisipasi dengan perbankan tersebut dengan alasa, ‘orang miskin tidak melabur’. Hasilnya kemiskinan menular. Kerana itu, asas perletakan hala tuju transfomasi kita mesti jelas, mengangkat nilai kebebasan, keamanan dan kesejateraan. Dalam hal menentukan arah perjalanan ini, kita juga mesti menyantuni perbezaan yang wujud dalam setiap individu, kerana itu kita katakan pergilah kearah manapun ingin dituju, kalau ke utara pastikan sejahtera, kalau ke timur pastikan makmur, kalau ke barat pastikan berkat, kalau ke selatan pastikan jangan tergoda dengan syaitan. Seperti mana kita beradab dalam perbezaan kita juga mesti menyantuni adab bernegara. Malaysia negara yang  ada pemerintah dan pemerintah itu ada cita-cita baik yang wajar disokong dan didukung. Saya mengajak kita semua untuk membaca buku Transformasi Politik oleh Dato’ Seri Najib Razak yang menyatakan demi menjamin kesejahteraan rakyat dalam dunia yang amat kompetitif sewajarnya ditambah baik daya saing nasional melalui kreativiti, inovasi dan keusahawanan mandiri. Cita-cita ini baik dan punya nilai-nilai murni. Dengan cita-cita ini sebagai panduan mahasiswa berinovasi pasti dapat memangkin transforamsi yang berjaya.

 

KESIMPULAN

Hadirin yang setia,

Kesimpulannya, seiring tema ‘Mahasiswa Berinovasi Pemangkin Transformasi’, mahasiswa harus sukarela tampil memimpin, inovasi bersifat dwi-dimensi, kearah transformasi yang berpaksikan nilai kesantunan. Ingatlah, pujangga melayu berkeras tentang kemestian berani menempa perubahan. Ketegasan ini diekspresikan melalui pantun tradisional: Apa guna pergi ke bendang, kalau tidak menanam padi; Apa guna keris disandang, kalau tidak berani mati. Kerana itu, bangkitlah sekalian mahasiswa, laksanakan amanah kita kepada negara dengan mengerah segala daya dan upaya berinovasi memimpin tranformasi.

 

Irfan Faruqi M. Fairus

24 Febuari 2016

Fakulti Syariah dan Undang-undang

Universiti Sains Islam Malaysia

 

 

 

RUJUKAN

Johnson, S. (2012). Future Perfect: The Case For Progress In A Networked Age. London: Penguin Books Ltd.

Muhammad Abdul Khalid. (2014). The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing.

Muhammad Yunus. (2007). Banker To The Poor: Micro-Lending and the Battle Against World Poverty. United States: Public Affairs.

Najib Razak (2012). Transformasi Politik: Mendaulatkan Hak Asasi serta Demokrasi Pemerintahan Rakyat untuk Rakyat. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Rose, M. H. (2010). A Failure of Capitalism: The Crisis of’08 and the Descent into Depression. By Richard A. Posner. Cambridge: Harvard University Press, 2009. xviii+ 346 pp. Index. Cloth, $23.95. ISBN: 978–0–674–03514–0. Business History Review, 84(01), 137-139.

Syed Hussein Alatas (2009). Intelektual Masyarakat Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

 

Alam Itu Kita

PENDAHULUAN

Bismillahirrahmanirrahim, Pengerusi Majlis, Juri-juri yang arif, tamu-tamu terhormat, rakan-rakan seisi dewan. Assalamualaikum, Salam buat pencinta alam. Saudara, setelah mendengar pidato-pidato rakan-rakan kita tadi maka selayaknya perhimpunan kita hari ini dinamakan solidariti generasi belia yang mahu bumi dihijaukan, hijau dan terus hijau. Saya juga mahu turut serta berkongsi secebis idea buat manfaat semua. Giliran ini, saya tampil dengan madah pidato ‘Alam itu Kita’. Maksud tajuk pengucapan ini ialah kita mesti menyemangati semula hakikat yang disebut oleh UU Hamidy, tokoh budayawan melayu, bahawa orang melayu kadangkala memandang diri mereka bagaikan alam. (Dalam Daun Ada Bicara: Falsafah Alam Pantun Melayu) Begitulah juga kita seharusnya. Dan definisi ‘Melayu’ di sini mengambil buah fikir Usman Awang dalam puisi beliau bertajuk ‘Melayu’. Walaubagaimanapun, dalam memperjuangkan bumi hijau ada suara yang mendesak bumi mesti menerima seadanya kesan industri yang pesat berkembang. Disinilah isu timbul, bumi menuntut hak untuk dijaga dan manusia menuntut hak kebebasan meneroka. Oleh itu, kita bahagikan pidato ini kepada tiga bahagian; Hak Alam, Hak Manusia, Hak bersama Alam dan manusia.

 

Isi 1: HAK ALAM: DI PELIHARA KEHIJAUANNYA

Perkara pertama, Hak Alam. 1971, Wendell Berry berpesan “alam ini bukan warisan keturunan kepada kita sebalik pinjaman daripada anak-anak kita”. (Berry, 2006) 44 tahun dahulu kita di ingatkan untuk melestarikan alam tapi lihat apa kita ada sekarang, Natural Resources Defence Council berpusat di Amerika Syarikat menggariskan 7 isu alam sekitar yang kritikal kini; pemanasan global, putus bahan mentah, udara bertoksik, bekalan air bersih, ancaman pencemaran laut, dan kemusnahan habitat liar. (Issues) Rentetan itu, bumi mengalirkan airmata tsunami Lautan Hindi 2004, melibatkan Malaysia, Indonesia dan 11 negara lain meragut 230,000 nyawa, (Mengingati Tsunami 2004, 2014) bumi menzahirkan amarah dengan gempa Haiti 2010; 222,000 terkorban (World News Asia Pacific, 2013), dan bumi menyapa menusia dengan taufan Sandy 2012, menelan kerugian USD36.8 billion, (Hurricane Sandy Fast Facts, 2015) apakah kita masih tidak terasa deritanya dunia? Kerana itu kata-kata Evo Morale, presiden Bolivia seharusnya mengusik jiwa kita, kata beliau, “lambat laun kita harus sedar bahawa bumi juga punya hak untuk hidup tanpa pencemaran, ketahuilah manusia tidak boleh hidup tanpa bumi tetapi bumi boleh hidup tanpa manusia”. (Evo Morale Quote) Sedarlah hak bumi keatas kita adalah untuk dijaga dan dipelihara.

 

Isi 2: HAK MANUSIA: DIBERIKAN RUANG KEMATANGAN

Perkara kedua, Hak Manusia. Jangan ada sesiapa menafikan kerakusan manusialah yang mengakibat kemusnahan, jangan ada yang menidakkan buta mengejar pembangunan tergadai alam sekitar kita. Pun begitu, saudara, kita tidak pernah menyatakan ‘berhenti’ kepada penyelidikan dan pemodenan teknologi. Muzaffar Iqbal, tokoh sarjana pakistan-kanada, dalam mengungkapkan The Brave New World (Iqbal, 2008) dan Alvin Toffler, futuris barat, dalam bukunya The Third Wave (Tofler, 1990) sepakat menyatakan bahawa pembangunan mustahil dihentikan, kita akan maju dan terus maju. Kerana, matlamat asal sains dan teknologi itukan adalah untuk memudahkan urusan kita. Saudara, bukankah teknologi menjadi identiti yang mencirikan generasi Y? Kalau bukan kerana kemajuan teknologi, lupakan Proton, Perodua, Apple dan Samsung. Ya. Kita simpulkan, hal pembangunan sains dan teknologi adalah hak manusiawi yang tidak wajar dinafikan.

 

isi 3: HAK BERSAMA MANUSIA DAN ALAM: MEMBERDAYA INISIATIF SEDIA ADA

Perkara ketiga, hak bersama alam dan manusia. Kita telah bicarakan kehendak alam dunia dan kita ungkapkan keinginan manusia. Dalam kancah perdebatan siapa berhak keatas hak, wajar untuk kita selak kembali tulisan Dr. Taha Jabir al-Wani berjudul Adab Berbeza Pandangan, kata beliau, dalam perselisihan, yang dibesar bukan perbezaan tetapi persamaan yang menguntungkan. (al-Alwani, 1993) Dengan mengambil prinsip ini, ditambah dengan konsep Wasatiyyah dan dihiasi dengan kefahaman RahmatanlilAlamin, sebagai belia kita terpanggil untuk mengusulkan solusi terbaik untuk dua pihak bertelagah ini. Solusinya ialah dengan memperkenal hak bersama alam dan manusia. Maksudnya begini, manusia, kalau mahu mencipta kecanggihan pastikan teknologinya hijau dan mesra alam. Manusia, kalau mahu berindustri pastikan sisanya dirawat sebaik mungkin. Manusia, dalam menjalani kehidupan seharian kurang-kurangkan pembuangan sisa pepejal. Ringkasnya, saudara harus lawat laman sesawang SWCorp, saudara harus baca inisiatif yang ada, dan bersama kita mesti sokong agenda bumi hijau yang dilancarkan. Saya tidak mahu menguar-warkan gagasan baru sebaliknya saya mahu kita berdayakan langkah-langkah sedia ada. Di sinilah mata hati harus dicerahkan dalam memupuk semangat perubahan hijau yang kita dambakan.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, tajuk pidato ‘Alam itu Kita’ saya titipkan pesanan, harapan dan impian seikhlas nurani. Biar kita hidup di rimba desa atau belantara tembok kota, ingatlah, Alam itu Kita. Biar kita pendukung alam lestari atau kilang industri, ingatlah, Alam itu Kita. Biar umur cuma setahun atau lanjut seratus tahun, ingatlah, Alam itu Kita. Biar taraf rakyat jelata atau kerabat raja, pemerintah negara, ingatlah, Alam itu Kita. Alam itu kita, musnah alam, musnahlah kita. Maka lihatlah alam dengan mata hati, bersama kita bangunkan alam lestari.

 

 

 

 

IRFAN FARUQI M FAIRUS

25 November 2015

Pusat Tamhidi

Universiti Sains Islam Malaysia

 

 

 

RUJUKAN

 

al-Alwani, T. J. (1993). The ethics of disagreement in Islam, trans. Abdul Wahid Hamid. USA: International Institute of Islamic Thought.

Berry, W. &. (2006). The unforeseen wilderness: Kentucky’s Red River Gorge. Counterpoint Press.

Dalam Daun Ada Bicara: Falsafah Alam Pantun Melayu. (n.d.). Retrieved November 25, 2015, from https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=2&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwjkjp6e5KvJAhWWBo4KHQHPDEAQFggkMAE&url=http%3A%2F%2Fwww.xs4all.nl%2F~ldolk%2FMHS%2Fbm_poem%2Fwebpage%2Fessei&usg=AFQjCNG-QQVQEXzp66pph7ZgyawoVWdO_g&sig2=RdMmbiJJjpJ_L

Evo Morale Quote. (n.d.). Retrieved November 25, 2015, from Brainy Quote: http://www.brainyquote.com/quotes/authors/e/evo_morales.html

Hurricane Sandy Fast Facts. (2015, Oktober 3). Retrieved November 25, 2015, from CNN Library: http://edition.cnn.com/2013/07/13/world/americas/hurricane-sandy-fast-facts/

Iqbal, M. (2008). Definitive Encounters: Islam, Muslim and the West. Kuala Lumpur: IBT.

Issues. (n.d.). Retrieved November 25, 2015, from Natural Resource Defence Council: http://www.nrdc.org/issues/

Mengingati Tsunami 2004. (2014, Disember 21). Retrieved November 25, 2015, from Utusan Online: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mengingati-tsunami-2004-1.39240

Tofler, A. (1990). The Third Wave. USA: Bantham Books.

World News Asia Pacific. (2013). Retrieved November 25, 2015, from NBC News: http://www.nbcnews.com/id/42029974/ns/world_news-asia_pacific/t/top-deadliest-earthquakes-history/

 

1 MALAYSIA 1 UMMAH: MEMAKNAI DEFINISI BARU ‘KITA’

Assalamualaikum. Penghargaan buat Sdr. Pengerusi, barisan Juri arif-hakimi, Dif-dif yang dirai, rakan-rakan dan saudara-saudari.

PENDAHULUAN

Dibawah tema 1 Malaysia 1 Ummah; tema yang mendetik minda kita dengan fahaman umum bahawa 1 Malaysia 1 Ummah ialah bicara mengharmonikan masyarakat pelangi berbilang kaum agar bersatu, berpadu, dibawah panji negara bangsa yang satu. Saudara, memang itu yang ingin kita bincangkan. Istimewanya pidato ini ialah kita akan terus fokus kepada solusi kearah membina impian tersebut yang akan dipidatokan dengan tajuk ‘1 Malaysia 1 Ummah: Memaknai Definisi Baru Kita’.

Secara konklusif, saudara, mauduk pengucapan ini bermaksud merealisasikan hidupnya seluruh rakyat negara ini dengan satu identiti; satu Malaysia, dengan memahami semula erti kalimat ‘kita’. Justeru, dua persoalan yang akan kita rungkai secara tuntas ialah ‘Apakah definisi baru kita?’, ‘Bagaimanakah definisi ini mampu menjadikan kita satu ummah?’ dan ‘Bagaimana kefahaman ini menegakkan kerajaan Melaka yang agung?’.

Isi 1: MAKNA ‘KITA’ BERASASKAN NILAI

Menjawab persoalan satu. Secara literal ‘kita’ ialah kata ganti nama pertama, seolah-olah saya dan anda adalah satu. Secara kontekstual pula,definisi baru yang akan kita canangkan hari ini memetik buah fikir Dr Tariq Ramadan dalam bukunya ‘What I Believe’ menggambarkan ‘kita’ sebagai kebersamaan dalam identiti yang sama.(Ramadan, 2010) Kata beliau, seorang lelaki seperti Saudara _____ sebentar tadi, memiliki beberapa identiti. Identiti sebagai seorang anak mak, mahasiswa atau buat masa sekarang, beliau seorang pemidato. Maka dalam konteks membina 1 Malaysia 1 Ummah, siapapun, dimanapun, bilapun, jika seseorang itu taat kepada 5 Rukun Negara, dia adalah sebahagian daripada ummat Malaysia. Sejajar dengan kehendak Qurani mengenai kebersamaan berasaskan nilai yang terungkap melalui prinsip ‘amal ma’ruf nahi mungkar Surah Ali Imran ayat 110 dan prinsip ta’awun Surah al-Maidah ayat 2. Dengan pemahaman ini, insyaAllah, kita optimis 1 Malaysia 1 Ummah akan termanifestasi.

Isi 2: ‘KITA’ MENJELMAKAN RAHMATAN LIL A’LAMIN

Menjawab persoalan kedua. Menghayati makna ‘kita’ yang berasaskan kepada nilai kebersamaan dan menghormati perbezaan mewujudkan rasa kasih dan tanggungjawab sesama insan persis tafsiran Buya Hamka berkenaan ayat ‘___’ Surah al-Hujurat ayat 13.(Hamka, 1993) Mungkin inilah yang diaspirasikan oleh Dato’ Dr. Sidek Fadzil ketika mengungkapkan pandangan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan Rashid Ghanoushi berkenaan penggunaan istilah Muwathinuun berbanding Zhimmiyyuun dalam menyikapi kemajmukan.(Salleh, 2010) Pendirian ini terkait dengan kajian oleh Dr. Bonnie M. Hagerty, pakar masalah tekanan psikologi, Universiti Michigan, menyatakan bahawa perasaan diterima oleh masyarakat membantu meningkatkan daya produktiviti dan segenap aspek kehidupan. (Hagerty, 1996) Kerana itu, dikala ayat ‘___’ dari Surah al-Insyirah dibacakan, kita lantas tenang kerana merasakan Tuhan bersama kita. Oleh itu, dalam bicara 1 Malaysia 1 Ummah apabila perbezaan dirai dengan rahmah dan penerimaan sosial, adakah sebuah ummah yang kuat dan hebat tidak boleh dilahirkan?

ISI 3: FAHAM ‘KITA’ DI ERA MELAYU SILAM

Menjawab persoalan tiga. Kefahaman kita yang berpaksi kepada nilai sejagat ini sudahpun lama dibincangkan sarjana bahkan terbukti berhasil. Kita semua tahu karya Ibnu Khaldun berjudul Mukaddimah yang mana ada menyebut soal ‘Ashobiyyah yang menjadi ciri masyarakat madani. Tetapi disini, kita akan berikan perhatian kepada sejarah Melayu Melaka yang makruf dikalangan kita bahawa kerajaan ulung itu berdiri dengan warna-warni budaya dan bangsa. Justeru, jika disorot lembaran kisah mereka, kita akan ketemukan cerita bangganya kaum Batak yang baru peluk Islam. Yang mana diekspresikan melalui pantun yang berbunyi; Kapak bukan sebarang kapak, kapak buat memotong kayu; Batak bukan sebarang Batak, Batak sudah masuk Melayu. (Siddiq Fadzil, 2012) Begitulah eratnya Melayu-Islam dahulu kala, sehinggakan jika disebut Islam tak lain ialah Melayu dan begitulah sebaliknya. Maka benarlah laungan keramat panglima lagenda Hang Tuah; ‘Takkan Melayu hilang di dunia’, iaitu Islam takkan hilang di dunia. Usman Awang melalui puisi berjudul ‘Melayu’ yang berbunyi ‘… Jawa itu Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu, Mamak dan Malbari serap Melayu, malah Muallaf bertakrif Melayu’ juga menunjukkan kebersamaan ditengah-tengah perbezaan boleh dicapai. Dalam perspektif 1 Malaysia 1 Ummah, sejarah yang lena boleh sahaja dikejutkan dan dikembalikan ke takhta kegemilangannya dengan cara memahami erti ‘kita’ ialah kita yang hidup dengan nilai 1 Malaysia.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, mulai hari ini kita sambut nasihat Dr. Asyraf Wajdi Dasuki yang mengingatkan kita agar sentiasa bersikap lapang dada dan penuh hikmah berteraskan nilai Islam dalam wajah kemajmukan. (Dasuki, 2006) Mulai hari ini, jangan lagi dibezakan makna kita berasaskan kaum Melayu, Cina, India, sebaliknya apabila ditanya ‘Siapa kita?’ spontan kita jawab ‘Kita Rakyat Malaysia’. Kita  berbuat baik kepada berlainan orang bukan lagi kerana tanggungjawab semata-mata. Tetapi, kita berbuat baik kerana ihsan dan rasa kekeluargaan antara satu dengan yang lain. 1 Malaysia 1 Ummah bukan mimpi yang mustahil dikecapi. 1 Malaysia 1 Ummah akan kita realisasikan, bukan esok tetapi hari ini.

IRFAN FARUQI

16 Oktober 2015

Pusat Tamhidi USIM

RUJUKAN

Al-Quran Karim

Dasuki, A. W. (2006, Januari 29). Islam Hormati Orang lain. Retrieved 10 16, 2015, from Utusan Online:http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htm&arc=hive

Fadzil, Siddiq (2012). Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Sg Ramal Dalam: Akedemi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah.

Hagerty, B. M., Williams, R. A., Coyne, J. C., & Early, M. R. (1996). Sense of belonging and indicators of social and psychological functioning. Archives of psychiatric nursing, 10(4), 235-244.

Hamka. (1993). Tafsir al-Azhar. Singapura: Pustaka Nasional.

Ramadan, T. (2010). What I Believe. United State of America: Oxford University Press.

Salleh, F. (2010, Mei 29). Memahami Garis-garis Besar Haluan Perjuangan (Bahagian 2). Retrieved 10 16, 2015, from Peminggir Kota: http://peminggirkota.blogspot.my/2010_05_23_ archive.html

Ta’dib Kepemudaan Dalam Konteks Dakwah

Dapatan Wacana Terbuka

bersama Dr. Zulkifli Hassan,

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tajuk               : ‘Ta’dib Kepemudaan dalam Konteks Dakwah’

Tarikh             : 13 September 2015

Masa              : 9.30pagi – 11.00pagi

Tempat          : Dewan Solat, SEMI ABIM Nilai

Pendahuluan

Ta’dib Kepemudaan secara umum adalah sama dengan 10 sifat peribadi  muslim. Tambahan pemahaman Ta’dib Kepemudaan dalam konteks PKPIM ialah 10 ciri pemuda Imam Hassan al-Banna itu dihayati dengan Budaya 7 PKPIM dan 9 Orientasi Gerakan PKPIM.

Dalam wacana terbuka yang dibawakan sempena Muktamar PKPIM USIM Kali Pertama ini merenung persoalan ‘Bagaimana Ta’dib Kepemudaan ini boleh diaplikasikan dalam dakwah kampus, khususnya, dan masyarakat, amnya.

 

Ta’dib Kepemudaan Tidak Perlu Dibincangkan

Begitulah Dr. Zulkifli memulakan bicara beliau. Menurut beliau, Ta’dib ini perkara yang sudah jelas disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Dengan sedikit pembacaan, renungan dan muhasabah, Surah al-Kahfi sudah cukup menggambarkan generasi pemuda beradab yang diaspirasikan oleh al-Quran.

Berbicara berkenaan sifat kepemudaan dalam al-Kahfi itu mudah kerana banyak dibincangkan dan kupas malahan sering dijadikan tauladan. Menarik apabila Dr. Zulkifli membawa hadirin merenung Hadis ke-2 daripada Matan ar-Bai’in(Hadis 40) Imam an-Nawawi berkaitan Islam, Iman dan Ihsan. Perkara yang diajak-hadam oleh Dr. Zulkifli bukan soal sesi temuduga antara Baginda Nabi dan Malaikat Jibril, tetapi beliau meminta hadirin melihat penampilan Malaikat Jibril itu sendiri.

Seperti yang digambarkan oleh Saidina Umar bahawa ‘..telah datang kepada kami seorang pemuda(rajulun) sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak nampak kesan perjalanan jauh’ atau secara ringkasnya telah datang seorang lelaki keperhimpunan para sahabat bersama nabi dengan gaya yang hebat, kemas, dan karismatik. Aura ini yang dibawa oleh Jibril ketika dia datang membawa pengajaran berkaitan Islam, iman dan ehsan. Begitulah manefestasi Islam yang sentiasa hebat dan kuat, begitu jugalah pemuda yang seharusnya sentiasa segak dan kemas. Itulah imej pemuda yang menghayati Ta’dib kepemudaan.

Realiti Pemuda Abad ke-21

Dr. Zulkifli dikenali sebagai sebagai seorang yang kuat mengembara dan selalu terbang melihat dunia luar. Disitu beliau berkongsi keadaan mentaliti pemuda sekarang. Beliau membawa hadirin menilai jawapan pelajar Jepun dan Amerika, bahkan dibeberapa negara yang lain, apabila ditanyakan ‘Apakah kerisauan(concern), saudara?’. Jawapan mereka hampir serupa iaitu kerisauan mereka adalah peluang pekerjaan dan masa depan ekonomi mereka.

Dr. Zulkifli menjelaskan bahawa corak pemikiran ini lahir daripada pemupukan mentaliti bercorak Utilitirianism(istilah ekonomi) yang mana ia merupakan satu teori yang melihat sikap yang memaksimakan utiliti atau dalam konteks perbincangan ini merujuk kepada ‘kepuasan hidup’; nafsu.

Dalam islam kita ada Dimentional Utility yang mana kita mengambil sikap melihat kehadapan, lebih jauh atau thinking beyond; akhirat.

Mentaliti lemah Utilitirian pasti tidak mampu mendepani cabaran baru abad ke-21. Dr. Zulkifli menjelaskan cabaran yang berhadapan dengan kita jauh berbaza daripada cabaran era lampau, bahkan tidak sama lansung. Dua cabaran yang kita harus hadapi ialah cabaran Persaingan dan cabaran Ketidaksamarataan(inequality).

Dalam hal Persaingan, kita berdepan dengan persaingan ideologi, ekonomi, teknologi, dan bermacam-macam lagi. Apapun ujar Dr. Zulkifli, persaingan yang harus kita titik beratkan dan diberi penekanan ialah persaingan berubah daripada Zulumati ila Nnu. Persaingan keluar daripada sejumlah jalan-jalan kezaliman kepada satu-satunya jalan kebenaran. Justeru, cara mengenali jalan yang menuju kepada an-Nur itu mesti persaingan yang berlandaskan nilai(value oriented). Jalan yang punya nilai keadilan, kemanusiaan, dan keamanan itulah seharusnya menjadi pilihan.

Dalam hal Ketidaksamarataan, Dr. Zulkifli menerangkan bahawa berdasarkan Deravative Instrument yang mengukur ekonomi dunia menyatakan bahawa asset kekayaan terkumpul berjumlah USD 600 trillion dan golongan 1% terkaya dunia memiliki 50% daripada jumah tersebut.

Hak Asasi: Ideologi Menjadi Agama

Ditengah perbincangan berkaitan indeks-indeks yang digunakan untuk mengukur prestasi ekonomi, Dr. Zulkifli turut menyentuh tentang Happy Planet Index(HPI) yang mengukur tahap kepuashatian rakyat terhadap hidup mereka. Keputusan indeks tersebut menunjukkan bahawa rakyat Oslo merupakan rakyat paling ‘bahagia’ kerana, menurut Dr. Zulkifli yang melawat negara tersebut menyatakan bahawa, negara tersebut menyediakan fasiliti mesra pengguna dan pengangkutan awam yang cekap.

Berbicara soal ‘bahagia-tidak-bahagia’ ini yang membawa kepada sorotan perjuangan hak asasi manusia yang pada dasarnya mengangkat hak-hak sebagai seorang warga untuk mendapat akses kepada kehendak hak mereka. Hari ini ramai berbicara soal hak, seolah-olah Hak itu merupakan agama yang mesti ditegakkan. Lantang dalam menyuarakan tentang hak peribadi sehingga lupa kepada hak orang lain. Lantang mendefinisikan Hak Asasi sehingga lari daripada panduan wahyu. Ini yang berlaku sekarang.

 

Resolusi: Pembangunan Masyarakat Sivil

Dr. Zulkifli mencanangkan bahawa permasalahan ini boleh diatasi dengan melahirkan masyarakat bertangungjawab, masyarakat sivil yang terkehadapan menyuarakan kebenaran dan kebaikan.

Menyorot sejarah kerajaan islam, beliau mengingatkan bahawa Khilafah sebenar-benar Khilafah berakhir dengan pemerintahan Saidini Ali bin
Abi Talib. Kerajaan yang datang kemudiannya semuanya adalah kerajaan yang diwariskan atau Monarki. Maka, beliau juga mengingatkan bahawa tiada salahnya sistem pemerintahan tersebut selagi mana keadilan sejagat dapat dilaksanakan. Begitulah perbahasan yang dibawa oleh Ibnu Khaldun yang menyatakan bahawa pemerintahan yang diterima ialah MuluksSoheh(pemerintahan baik) dan menolak MulukulGhoirusSoheh(pemerintahan tidak baik.

Al-Mawardi dan sarjana seangkatannya turut menulis berkenaan sistem pemerintahan yang wajar. Jika diteliti perbahasan mereka berlegar sekitar sistem Khilafah. Maka sekarang, perbincangan mereka adalah kurang tepat dijadikan qiblat kerana dunia islam hari ini berbicara soal Negara Bangsa(Nation State).

Meneliti negara-negara islam hari ini, kebanyakannya berpusat kepada Dictatorship atau State Base. Segalanya berkaitan pendidikan, kesihatan, kemudahan, kehidupan, dan pekerjaan, semuanya diserahkan untuk ditadbir, diurus dan ditentukan oleh kerajaan. Maka kerana itulah lahir diktator-diktator maha zalim, pemerintah yang menipu rakyat, dan rakyat yang lemah.

Berbanding negara maju yang mempunyai gerakan masyarakt sivil yang kuat; kadar cukai, urus tadbir dan pendidikan semuanya memperuntukkan kerajaan berunding dengan rakyat. Maka, kesimpulanya mudah yang boleh diketengahkan ialah kewujudan civil-based society mampu membawa negara kehadapan. Dr. Zulkifli secara terang menyatakan bahawa beliau tidak mahu mengagungkan negara maju tetapi hakikat index dan nombor menunjukkan negara yang mempunyai Gerakan Masyarakat Sivil yang kuat melahirkan rakyat yang kuat dan negara yang kuat.

Justeru kita perlu memikirkan bagaimana untuk mesivilkan masyarakat hari ini seperti mana di Turki yang mana golongan kelas menengahnya menrangkumi 50% populasi, kerana itu Turki kehadapan dari segenap sektor seperti yang kita tahu hari ini. Itu pesanan beliau dan kita yakin bahawa inilah peranan penghayatan terhadap Ta’dib Kepemudaan berfungsi.

Penutup

Sebagai penutup, Dr. Zulkifli Hasan menyatakan bahawa dalam menrealisasikan impian Masyarakt Sivil ini  melalui dakwah berteraskan Ta’dib Kepemudaan, maka kebebasan mesti diberikan. Kebebasan adalah perkara paling pokok kearah civilization. Sepertimana, al-Ghanoushi menyebut “Kebebasan datang sebelum undang-undang inilah kunci kegemilangan islam.”

Catatan

Irfan Faruqi

Recommended Reading: Why I Abandoned My Social Media Presence

The Daily Post

Have you ever stopped to think about why you are on social media? For me, it has always been about connecting with people, learning from my community, and contributing to that community. Page views, subscribers, followers and fans were never a stand alone goal. They were a means to an end — the promise of a potential connection.

— Annie at Ethical Thinker

Note: The ideas here are targeted more to intermediate/advanced users and bloggers with established followings.

If you’re a new blogger, we can help you get started on social media: we publish resources on building your blog and online presence, and offer Blogging 201: Traffic and Growth, a guided course where you learn alongside other bloggers.

Annie at Ethical Thinker published an interesting read last month on why, after seven years of growing a popular parenting blog and social media presence, she abandoned her following, which…

View original post 484 more words